|

Latih belia dekati masyarakat

PESERTA bersama sukarelawan Surau Al Ikhwan bergotong royong memasak bubur lambuk. FOTO Ihsan pembaca.
PESERTA bersama sukarelawan Surau Al Ikhwan bergotong royong memasak bubur lambuk. FOTO Ihsan pembaca.

Klang: Latih belia jadi sukarelawan. Itu inisiatif Pertubuhan Akademi Al Quran Antarabangsa (IQRA) yang menganjurkan Program Belia #HidupkanRamadhan di Taman Setia, Klang untuk menghidupkan Ramadan yang berbaki beberapa hari saja lagi.

Program dengan kerjasama Business Economics Students Society (BESSS), UiTM Puncak Alam itu memberi ruang peserta memasak bubur lambuk secara gotong royong untuk diagihkan kepada 4,000 penerima di kawasan sekitar.

Pengerusi Pertubuhan Akademi Al-Quran Antarabangsa (iQRA) Leftenan Bersekutu (PA) Mohamad Anas Mohamad Naem membuka peluang kepada peserta untuk lebih mendekati masyarakat yang memerlukan tidak kira latar belakang.

“Pertubuhan ini diperbadankan untuk menjadi pusat atau institusi sumber ilmu dan pembelajaran Al-Quran yang meliputi kerja-kerja pendidikan, kebajikan, dan ekonomi.

“Bukan itu saja, iQRA juga melaksanakan pelbagai program komuniti dan sosial yang dapat membantu masyarakat dalam pelbagai aspek,” katanya.

Menurutnya, dengan pengalaman meluas (iQRA) dalam program komuniti dan sosial yang sudah dilaksanakan, akan lebih banyak inisiatif yang boleh dilakukan.

“Kami berharap dapat melakukan lebih banyak inisiatif seperti ini kerana program ini lebih mendekatkan kami kepada komuniti.

“Program ini juga bersesuaian dengan nilai modal insan yang sedang dilaksanakan yang mana kami cuba melakukan sebanyak mungkin CSR untuk mencapai sasaran,” katanya.

Selain penduduk setempat, pek bubur lambuk berkenaan turut diagihkan kepada NGO tempatan seperti Al Khairi Charity Organisation, Imtiyaz Care dan Balai Polis, Klang .


 

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/04/957643/latih-belia-dekati-masyarakat